Yaqazah
Definisi
Yaqazah dan Musyafahah
Arti yaqazah menurut bahasa ialah
jaga, sadar, bukan dalam keadaan mimpi, (yaqiza) Aiy
mutayaqqizun: Hazirun: jaga, sadar, berjaga-jaga. Referensi: Mukhtarus
Sihah, lisy Syeikh Al Imam Muhammad bin Abi Bakar bin Abdul Qadir Ar Razi, Al
Maktabah Al‘asriyah, Soida, Beirut. (halaman 349)
Adapun pengertian yaqazah pada
istilah pembahasan ilmu tasawuf ialah bertemu atau berjumpa dengan roh
Rasulullah SAW dalam keadaan jaga (bukan mimpi) dan hal ini merupakan satu karamah wali-wali Allah.
Arti musyafahah menurut bahasa
adalah bercakap-cakap antara dua pihak. (Al Musyafahah) Al Mukhatobah
min fika ila fihi. Referensi: Mukhtarus Sihah, lisy Syeikh Al Imam
Muhammad bin Abi Bakar bin Abdul Qadir Ar Razi, Al Maktabah Al‘asriyah, Soida,
Beirut. (halaman 167)
Pengertian musyafahah secara istilah
adalah bercakap-cakap dengan roh Rasulullah SAW atau bertanya- jawab atas
hal-hal yang kurang jelas dalam agama atau menerima amalan-amalan tertentu dari
baginda.
Yaqazah adalah satu perkara luar
biasa yang bertentangan dengan adat kebiasaan. Hal ini menjadi salah satu
sumber kekuatan para ulama yang hak (benar) dalam mempertahankan kebenaran.
Imam As Sayuti apabila ingin memasukkan sebuah Hadis ke dalam kitab karangannya
akan bertanya kepada Rasulullah SAW secara yaqazah: “Adakah Hadis ini
daripadamu ya Rasulullah?” Jika Rasulullah SAW membenarkan, barulah beliau
menuliskan Hadis tersebut. Begitu juga terjadi kepada banyak Auliya Allah.
Hukum
Yaqazah
Yaqazah hukumnya dapat berlaku pada
wali-wali Allah sebagai kemuliaan (karamah) yang Allah kurniakan kepada mereka.
Ia adalah perkara yang bertentangan dengan adat kebiasaan (luar dari kebiasaan)
pada logika manusia sedangkan masih dalam lingkungan mumkinat (boleh) bagi
Allah untuk mengadakan atau meniadakannya.
Perlu diketahui perkara yang
bertentangan dengan kebiasaan dapat dibagikan menjadi empat kategori,
berdasarkan di tangan siapa ia terjadi:
- Mukjizat: berlaku kepada para rasul a.s. sebagai bukti kerasulan mereka untuk mencabar penentang-penentang mereka.
- Karamah: berlaku kepada kekasih-kekasih Allah (para wali) lambang kemuliaan yang Allah beri kepada mereka.
- Maunah: berlaku kepada orang-orang mukmin dengan berkat guru atau amalan tertentu yang diistiqamahkan.
- Sihir: berlaku di tangan orang-orang fasik atau kafir secara istidraj (dalam murka Tuhan).
Dalil Bisa
Beryaqazah
Perlu diketahui dan difahami, ada
banyak ayat-ayat Al Quran yang memberi isyarat tentang peristiwa yaqazah ini.
Kalaulah ia dapat berlaku kepada para rasul a.s. sebagai mukjizat, ia juga
dapat berlaku kepada wali-wali Allah sebagai karamah.
Dalil
pertama: Pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan Nabi Musa a.s.
Ketika Rasulullah SAW dimikrajkan,
baginda dipertemukan dengan Nabi Musa a.s. sedangkan Nabi Musa telah wafat
lebih 600 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad. Oleh karena besarnya peristiwa
ini maka Allah rekamkan di dalam Al Quran dengan firman-Nya:
Maksudnya:
“Maka janganlah kamu ragu tentang pertemuanmu (dengan Musa ketika mikraj).”
(Sajadah: 23)
Dalil
kedua: Solat jemaah Nabi SAW dengan para rasul
Nabi Muhammad SAW bersembahyang
berjemaah dengan para rasul di malam Israk sebelum baginda dimikrajkan. Firman
Allah:
Maksudnya:
“Dan tanyalah orang-orang yang Kami utus sebelum kamu (wahai Muhammad) di
antara para rasul Kami itu.”
(Az Zukhruf: 45)
Di dalam Tafsir Al Qurtubi, juzuk
ke-7, ms 5915 tercatat:
“Masalah bertanya kepada anbiya
di malam mikraj, Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa para anbiya bersembahyang
dengan berimamkan Rasulullah SAW dalam tujuh saf. Tiga saf terdiri dari
rasul-rasul. Manakala empat saf lagi untuk nabi-nabi. Pertemuan Nabi SAW ini
adalah dalam keadaan jaga dan Nabi SAW telah bertanya sesuatu kepada mereka di malam
itu.”
Dalil
ketiga: Hadis dari Abu Hurairah r.a.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Aku
dengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang
melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku di dalam keadaan jaga dan
syaitan tidak boleh menyerupai diriku.” (Sahih Bukhari, juzuk ke-9,
halaman. 42)
Pengakuan
Ulama Mengenai Yaqazah
Ibnu Arabi dalam kitabnya Fara’idul
Fawa’id menulis:
“Adalah
boleh (khususnya bagi wali Allah yang diberi karamah) untuk bertemu dengan zat
Nabi SAW baik rohnya atau jasadnya kerana Rasulullah SAW seperti lain-lain nabi
dan rasul, semuanya hidup bila mereka dikembalikan (kepada jasadnya) serta
diizinkan oleh Allah keluar dari kuburnya.”
Dalam kitab Al Khasoisul Kubra, Imam
As Sayuti dalam Syarah Muslim oleh Imam Nawawi menulis:
“Jikalau
seseorang berjumpa Nabi SAW (dalam mimpi atau jaga), baginda menyuruh akan
sesuatu perbuatan (sunat), melarang satu larangan, menegah atau menunjukkan
suatu yang baik, maka tiada khilaf ulama bahawa adalah sunat hukumnya
mengamalkan perintah itu.”
Pihin Datuk Seri Maharaja Datuk Seri
Utama, Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam,
mengeluarkan fatwa melalui Pejabat Mufti, Kementerian Hal Ehwal Agama, Negara
Brunei Darussalam pada 14 Jamadil Awal 1408H, 4 Januari 1988 iaitu:
“Maka
nyata dari kata-kata ulama yang di atas ini bahawa berjumpa dengan Nabi SAW
waktu tidur atau waktu jaga dan Nabi SAW mengajar akan sesuatu ilmu, suatu doa,
suatu selawat dan suatu zikir, adalah harus (mubah) dan boleh, bagaimana telah
berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah dan orang-orang
solehin, kita berkata perkara seperti itu termasuk di bawah ertikata fadhailul
a’mal. Adapun perkara halal dan haram
telah tertutup dengan berhenti wahyu kepada Nabi kita dan dengan wafat Nabi kita
SAW sebagaimana kita telah sebutkan di awal-awal rencana ini. Sila baca
kitab-kitab mengenai wali-wali Allah seperti Syawahidul Haq karangan Syeikh
Yusuf An Nabhani dan kitab Lathoiful minan karangan Al Arifbillah Tajuddin bin
Athaillah As Sakandari yang meninggal tahun 709H dan Jami’u Karamatil Auliya
karangan Syeikh An Nabhani dan Hilyatul Auliya oleh Al Hafiz Abu Naim dan
karangan Al ‘Alamah Dr. Abdul Halim Mahmud, Mesir dan lain-lain.”
Rujukan
- Husain Hasan Tomai, Masalah Berjumpa Rasulullah Ketika Jaga Selepas Wafatnya, Pustaka Aman Press Sdn. Bhd, Kota Bharu, Kelantan, 1989
- Yusuf An Nabhani, Kisah-kisah keramat wali Allah
Kitab
ulama-ulama yang membahas mengenai yaqazah:
- Syeikh Yusuf an Nabhani, Afdalul Salawat
- Syeikh Yusuf an Nabhani, Sa'adah ad-Daraini
- Syeikh Jalaluddin as-Sayuti, Inaratul Halik
- Imam al-Ghazali, Al-Munziqu minal Dzalal
Tautan
- Kumpulan hadis-hadis berjumpa Rasulullah (1)
- Kumpulan hadis-hadis berjumpa Rasulullah (2)
- Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(1)
- Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(2)
- Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(3)
- Fatwa mufti Brunei tentang yaqazah
- Apakah mungkin melihat Nabi s.a.w saat terjaga ?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar